Selasa, 17 Februari 2015

Harimau Muda hilang taring tewas kepada Indonesia 1-0

SELASA, 17 FEBRUARI 2015 @ 9:34 PM

Harimau Muda hilang taring tewas kepada Indonesia 1-0

KUALA LUMPUR: Skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara kecundang 0-1 kepada B-23 Indonesia pada aksi persahabatan di Stadium Gelora Delta Sidoarjo di Surabaya, Indonesia, hari ini.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan Paulo Oktavianus Sitanggang pada minit ke-36 pada aksi yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen Indonesia, RCTI.

Perlawanan persahabatan berkenaan adalah sebagai persiapan ketua jurulatih pasukan itu, Razip Ismail bagi menghadapi Liga Singapura 2015 awal bulan depan, selain pusingan kelayakan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 2016 di Stadium Shah Alam dari 27 hingga 31 Mac ini.

Pada kejohanan Piala AFC itu, skuad Harimau Muda diundi dalam kumpulan I bersama-sama Jepun, Vietnam dan Macau.

Skuad negara membuka kempen menentang Vietnam pada 27 Mac, Macau (29 Mac) sebelum menamatkan aksi peringkat kumpulan berdepan Jepun, dua hari kemudian.

Sejumlah 43 pasukan dari benua Asia bersaing pada pusingan kelayakan itu bagi merebut 15 slot ke pusingan akhir kejohanan yang bakal diadakan di Qatar pada Januari 2016. - BERNAMA

Sumber-HARIAN METRO ONLINE 17.2.15

Selasa, 10 Februari 2015

Skuad muda negara muncul juara Piala Emas Bangabandhu

09 Februari 2015 12:55 AM

 Nazirul Naim Che Hashim
Nazirul Naim Che Hashim
KUALA LUMPUR – Faizat Ghazali muncul wira selepas gol kemenangannya membawa skuad bawah 22 tahun Malaysia menjulang Piala Emas Bangabandhu 2015 dengan menewaskan skuad kebangsaan Bangladesh 3-2, semalam.
Tandukan penyerang berjersi nombor 17 itu hasil sepakan sudut Syazwan Andik membolehkan skuad bimbingan Razip Ismail mengulangi kejayaan bergelar juara seperti edisi 1997.
Ketika itu Malaysia B menewaskan PSM Ujungpandang (Indonesia) 2-1 dalam perlawanan akhir.
Kejayaan ini turut menjadi penyuntik semangat skuad belia yang turut menggabungkan pemain Harimau Muda A, menjelang misi lebih penting, Kelayakan Bawah 23 Tahun Asia, bulan depan.
Kedua-dua pasukan nyaris diheret ke masa tambahan selepas terikat 2-2 sehingga masa kecederaan babak kedua perlawanan akhir di Stadium Nasional Bangabandhu, Dhaka, Bangladesh.
Malaysia mendahului agak selesa hasil jaringan sepakan bebas cantik le­bih 20 meter oleh Nazirul Naim Che Hashim dan tolakan S. Kumaahran.
Namun, tuan rumah enggan menyerah mudah apabila menyamakan kedudukan 2-2 menerusi Jahid Hasan Ameli dan Yeasin Khan.
Kedua-dua jaringan berpunca daripada lontaran ke dalam dan sepakan sudut pada minit ke-48 dan 59.
Anak-anak buah Razip terdahulu menewaskan skuad sebaya, Singapura 1-0 dalam separuh akhir selain menjuarai Kumpulan A dengan menewaskan tuan rumah dan Sri Lanka 2-0.
Malaysia selaku tuan rumah, bakal berdepan Jepun, Vietnam dan Macau dalam Kumpulan I Zon Timur Kelayakan Asia Bawah 23 Tahun dari 23 hingga 31 Mac ini.
Sepuluh juara kumpulan dan lima pasukan terbaik tempat kedua daripada semua kumpulan (15 pasukan) akan layak ke pusingan akhir di Qatar, Januari 2016.
Kejohanan itu turut menjadi menjadi kelayakan Sukan Olimpik Rio yang mencari tiga terbaik wakil Asia.

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/skuad-muda-negara-muncul-juara-piala-emas-bangabandhu-1.57481#sthash.ha0qSoHY.dpuf

Ahad, 8 Februari 2015

Dollah, Kim Swee optimis


 
KETUA Jurulatih Malaysia, Dollah Salleh dan pengendali skuad Sukan SEA 2015, Datuk Ong Kim Swee optimis mampu membawa skuad negara mencapai Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Layak ke pusingan akhir Piala Asia 2019 buat Dollah manakala misi Kim Swee pula merampas kembali pingat emas yang pernah dimenangi skuad negara pada Sukan SEA empat tahun lalu di Jakarta untuk Sukan SEA 2015 di Singapura Jun depan.

Dollah mengakui, beliau perlu merancang dari sekarang bagi memastikan persiapan pasukan kebangsaan dan pemilihan pemain-pemain bertepatan dalam misi merealisasikan sasaran tersebut.

“Sudah menjadi tanggungjawab saya untuk memenuhi (KPI) sasaran yang ditetapkan FAM. Saya fikir kita memiliki peluang untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia (2019). Kita harus optimis,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.

Bagi Kim Swee pula, kejayaan memenangi pingat emas Sukan SEA 2011 Jakarta tidak sama seperti situasi kini tetapi beliau menaruh keyakinan tinggi dalam misi menunaikan tuntutan dari FAM.

“Sejujurnya, ia bukan satu tugas mudah dan jika dibandingkan persiapan kita sekarang dengan kejayaan di Jakarta adalah sangat berbeza,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menetapkan KPI buat kedua-dua pengendali skuad senior dan muda negara itu untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia empat tahun lagi dan meraih pingat emas pada Sukan SEA 2015.


Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0208&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3RA2n4PB1 Hakcipta terpelihara