SUKAN
CHENG HOE melihat sudut positif Dos Santos dan Cabrera jika dinaturalisasikan pada tahun 2022 dijangka memberi lebih banyak pilihan buat skuad Harimau Malaya.
Cheng Hoe teruja prospek naturalisasi Dos Santos, Cabrera
Oleh MUHAMAD ARDIE PUTRA SUHAIMI
19 Disember 2020, 9:43 am
KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui cukup teruja sekiranya dua pemain import Liga Malaysia (Liga M), Endrick Dos Santos dan Gonzalo Cabrera berjaya dinaturalisasikan pada tahun 2022.
Sebagai rekod, Endrick yang mewakili pasukan Pulau Pinang telah berkelana bersama pasukan Felcra FC pada musim 2018, Selangor (2019) dan Pulau Pinang bermula tahun ini sebelum kontraknya bersambung musim depan.
Sementara itu, Cabrera yang merupakan penyerang kelahiran Argentina pula mewakili pasukanJohor Darul Ta’zim (JDT) sejak musim 2017 dan tidak mempunyai masalah untuk dinaturalisasikan bermula 2022.
Kata Cheng Hoe, jika proses naturalisasi buat Dos Santos dan Cabrera berjalan lancar, ia akan memberi lebih banyak pilihan buat pasukan memanggil pemain berkualiti untuk menyarung jersi skuad kebangsaan.
“Ia adalah perkembangan positif buat skuad negara jika Dos Santos dan Cabrera akan dinaturalisasikan pada tahun 2022. Harus diakui mereka berdua sememangnya memiliki kualiti yang cukup bagus khususnya di bahagian serangan.
“Saya percaya kehadiran kedua-dua pemain ini dapat menguatkan skuad negara tetapi pada masa sama, kita tidak boleh melupakan kudrat pemain tempatan dan pastinya ia menjanjikan persaingan sihat dalam pasukan.
“Mungkin selepas ini kita boleh mencari barisan pemain import di posisi pertahanan yang berpotensi untuk dinaturalisasikan memandangkan bahagian serangan sudah cukup ampuh,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Terdahulu, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ismail dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa Dos Santos dan Cabrera akan dinaturalisasikan bersama kelab Harimau Selatan bermula tahun 2022.
Sebagai rekod, skuad Harimau Malaya yang menduduki ranking ke-153 dunia sudah mempunyai dua pemain naturalisasi iaitu Muhamadou Sumareh dari Gambia yang diberikan kerakyatan pada 2018.
Sementara itu, Liridon Krasniqi kelahiran Kosovo pula telah diberi kerakyatan pada awal tahun ini selepas bermain dalam kancah Liga M sejak musim 2015.SUMBER-KOSMO ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan