Khamis, 17 Mei 2018

Akhyar, Hadi tetap dalam perancangan

Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my
 
PENGENDALI skuad bawah 19 tahun (B-19) negara, Bojan Hodak menegaskan penyerang Akhyar Rashid dan Hadi Fayyadh Abdul Razak tetap berada dalam perancangannya meskipun tidak berada dalam senarai 27 pemain bagi kem latihan pusat bermula Ahad ini.  

Beliau berkata, dua pemain utama itu serta lapan lagi pemain tidak dapat bersama pasukan bagi latihan persiapan Kejohanan AFF B-19 memandangkan mereka terikat dengan kempen Liga Malaysia (Liga-M) yang tetap berlangsung sepanjang Ramadan ini.  

"Latihan pusat ini untuk mengumpul pemain (Piala Presiden) yang tidak beraksi apabila liga berehat seketika. Kita mahu pemain ini kekal cergas kerana kita akan mengharungi Kejohanan AFF di Indonesia, Julai ini.  

"Ada 10 pemain yang tidak dapat saya panggil kerana mereka bermain dalam Liga Super dan Liga Perdana termasuk Akhyar dari Kedah. Seramai 27 pemain yang dipanggil ini bukan senarai akhir untuk ke Kejohanan AFF, saya akan menilai pemain lain juga," kata Hodak.  

Skuad muda negara akan berlatih sembilan hari di Wisma FAM dan kemudian 23 pemain terbaik akan dipilih untuk dibawa ke Bangkok, Thailand pada 29 Mei bagi latihan dan tiga perlawanan persahabatan sebelum pulang ke tanah air pada 5 Jun.  

Bagaimanapun, Hodak mengakui beliau bakal berdepan kesukaran untuk mendapatkan pemain pada fasa akhir sebelum ke Kejohanan AFF memandangkan jadual liga yang padat.  

"Saya tidak mempunyai banyak masa memanggil semua pemain sebelum kejohanan itu nanti, mungkin hanya dua, tiga hari dapat mengadakan latihan dengan semua pemain. Saya tidak menetapkan sasaran di kejohanan itu kerana tidak mahu memberi tekanan kepada pemain tapi sudah pasti kita mahu menang setiap perlawanan.  

"Kita akan cuba mara ke separuh akhir terlebih dahulu dan kemudian mengintai peluang ke final. Bagi saya Kejohanan AFF ini persiapan pasukan sebelum misi utama pada Kejohanan AFC di Indonesia, Oktober depan," kata jurulatih kelahiran Croatia itu.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 5:09 PM

Selasa, 8 Mei 2018

Biar kami 'low profile'

Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my
 
PENYERANG kebangsaan, Zaquan Adha Radzak lebih suka Harimau Malaya berwatak ‘low profile’ pada kempen Piala AFF November depan biarpun mengakui pasukan yang dibentuk oleh jurulatih Tan Cheng Hoe awal tahun ini mampu melakukan kejutan.

Katanya, keputusan mengecewakan dua tahun lalu apabila tersingkir awal di Yangon seharusnya dijadikan pengajaran apatah lagi lawan mereka dalam saingan Kumpulan A kali ini hampir sama iaitu Vietnam, Myanmar dan Kemboja kecuali Laos.

“Saya tidak kisah dengan persepsi orang yang mengatakan kami bukan pasukan pilihan kali ini. Biar kami ‘low profile’, tapi pada masa sama kami buktikan pasukan ini lebih baik.

“Dalam kumpulan ini, Vietnam dan Myanmar adalah lawan paling sukar, tapi saya percaya Kemboja dan Laos tidak akan memberi laluan mudah. Dua tahun lalu kami gagal ke separuh akhir, jadi pengalaman itu harus dijadikan pengajaran buat semua pemain,” kata Zaquan yang kini mewakili Kuala Lumpur.

Kempen Malaysia, juara 2010, akan bermula dengan menentang Kemboja di Phnom Penh pada 8 November, sebelum melayan kunjungan Laos di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 12 November, bertemu Vietnam di Hanoi (16 November) dan Myanmar di Bukit Jalil (24 November).

Manakala saingan Kumpulan B pula membabitkan juara bertahan Thailand, naib juara Indonesia, Filipina, Singapura dan pemenang pusingan kelayakan, Brunei atau Timor Leste.

Zaquan yang dilantik sebagai kapten dan meledak empat gol ketika menamatkan kemarau 12 perlawanan tanpa kemenangan Harimau Malaya dengan membelasah Bhutan 7-0 pada aksi persahabatan di Bukit Jalil, 1 April lalu percaya, semangat pemain skuad itu boleh dijadikan senjata terbaik untuk memburu tempat ke final Piala AFF.

“Ramai yang cakap ia perlawanan mudah menentang Bhutan, tapi kami hanya berlatih beberapa hari saja sebelum perlawanan itu. Pemain ketika itu beraksi dengan semangat juang tinggi.

“Pemain juga cepat menyesuaikan diri dan tak mustahil untuk kami ke final jika membuat persiapan lebih baik. Tapi tak tahulah, mungkin selepas ini pemain lain akan dibawa, mungkin ada kapten baru tapi ia tak ada masalah, kerana apa yang penting, semua pemain perlu ada semangat untuk menyarung jersi negara,” katanya.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mei 2018 @ 6:46 PM


Rabu, 2 Mei 2018

Harimau Malaya ada peluang


 
JURULATIH skuad Harimau Malaysia, Tan Cheng Hoe berpeluang elak daripada diundi dalam kumpulan maut. - Foto AHMAD IRHAM MOHD NOOR
Harimau Malaya ada peluang
Oleh Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Peluang buat skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe melepasi halangan awal Piala AFF 2018 dilihat cerah apabila berjaya mengelak daripada diundi dalam kumpulan maut.

Pada majlis undian di Jakarta sebentar tadi, skuad Harimau Malaya diundi dalam Kumpulan A bersama juara 2008 Vietnam, Myanmar, Kemboja dan Laos.

Manakala juara bertahan Thailand dan naib juara dua tahun lalu Indonesia akan berentap dalam Kumpulan B bersama Filipina, Singapura dan pemenang pusingan kelayakan antara Brunei dan Timor Leste.

Saingan kali ini berbeza apabila penganjur menggunakan format dua aksi di tempat sendiri dan dua di tempat lawan bagi saingan awal.

Pada edisi terakhir dua tahun lalu di Yangon, Myanmar, skuad Harimau Malaya kendalian Datuk Ong Kim Swee terkandas pada pusingan pertama selepas kali terakhir muncul juara pada 2010.

Pada kejohanan itu, juara lima kali Thailand menewaskan Indonesia menerusi agregat 3-2 pada final.

Bagi kempen 2018, kejohanan bola sepak terbesar di rantau ini akan bermula dari 8 November hingga 15 Disember manakala pusingan kelayakan pada 3 dan 11 September.

Keputusan undian

Kejohanan Piala AFF

8 November-15 Disember 2018

Kumpulan A

Vietnam

Malaysia

Myanmar

Kemboja

Laos

Kumpulan B

Thailand

Indonesia

Filipina

Singapura

Timor Leste/Brunei

Aksi Kelayakan 3 dan 11 September

Timor Leste mln Brunei

Brunei mln Timor Leste
SUMBER-BERITA HARIAN Rabu, 2 Mei 2018 | 5:52pm