Selasa, 20 Oktober 2015

Kim Swee paling layak

 
KIM SWEE (kiri) antara calon yang harus diberi pertimbangan oleh FAM untuk menjadi jurulatih tetap skuad Harimau Malaya.

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) seharusnya tidak perlu pening kepala untuk mencari jurulatih baharu skuad Harimau Malaya.

Calon sudah ada di depan mata dan tidak perlu berbelanja besar untuk mendapatkan khidmat tenaga asing yang belum tentu boleh mengubah haluan bola sepak negara.

Jangan nanti akan berlaku ‘tiada rotan, akar pun berguna’ dan daripada menunggu ‘rotan’ yang belum tentu berkualiti, eloklah gunakan ‘akar’ yang sudah ada di depan mata.

Calon terbaik yang dilihat layak untuk menerajui skuad negara ketika ini sudah tentu jurulatih sementara Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee.

Kim Swee bukan setakat sudah memahami budaya bola sepak tempatan malah, FAM boleh mengurangkan kos untuk membayar gaji tenaga asing yang sudah pastinya akan menuntut imbuhan yang tinggi.

Semalam, Kim Swee sudah menyerahkan borang permohonannya untuk mencuba nasib mengisi jawatan tersebut yang ditinggalkan kosong oleh pengendali sebelum ini, Dollah Salleh.

Dollah melepaskan jawatan tersebut selepas kekalahan memalukan 10-0 skuad Harimau Malaya kepada Emiriyah Arab Bersatu pada kempen kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Abu Dhabi 3 September lalu.

Kim Swee telah menyerahkan permohonannya kepada Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin pejabat persatuan tersebut di Kelana Jaya, Selangor pagi semalam.

Sebelum ini, FAM telah mengiklankan dua jawatan jurulatih iaitu bagi skuad Harimau Malaya dan pasukan bawah 23 tahun (B-23) negara kepada umum selepas peletakan jawatan Dollah.

Antara calon yang turut memohon jawatan tersebut setakat ini ialah Bojan Hodak, Marcel Desailly (Perancis), Robert Alberts dan George Boateng.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1020&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3p6tMUfbF Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan