Selasa, 31 Mac 2015

Perlu kerja keras jika idam atasi


Kelana Jaya: Masalah serangan masih menghantui skuad bawah 22 tahun negara (B-22) kendalian Razip Ismail menjelang aksi getir menentang Jepun pada perlawanan terakhir Kumpulan I Kelayakan AFC B-23 di Stadium Shah Alam malam ini.
Berbekal hanya tiga gol selepas dua perlawanan termasuk ketika mengatasi Macau 2-0 kelmarin, skuad muda negara itu terpaksa mengharapkan sumbangan pemain tengah dan pertahanan bagi melakukan sentuhan penyudah manakala pemain penyerang seperti hilang dalam bayangan pertahanan lawan.
Berdepan Jepun bukan mudah ketika Malaysia memerlukan kemenangan untuk layak ke pusingan akhir di Qatar tahun depan dan sekiranya pemain penyerang seperti S Kumaahran, Muhammad Syafwan Syahlan dan Muhammad Farhan Roslan tidak meningkatkan permainan, Razip terpaksa mengharapkan cara lain.
Gerakan ‘set-piece’ juga boleh dijadikan kekuatan pasukan negara apatah lagi memiliki pemain yang mempunyai kemahiran mengambil sepakan percuma seperti kapten Nazirul Naim Che Hashim.
Pemain pertahanan kiri itu sudah membuktikan keupayaan menghasilkan gol menerusi sepakan percuma jarak jauh ketika menewaskan Bangladesh pada final Piala Emas Bangabandhu Februari lalu serta melakukan sekali lagi sewaktu tumpas 1-2 di tangan Vietnam pada aksi pembukaan Kumpulan I.
Nazirul Naim yang pernah bersama kelab Jepun FC Ryukyu pada 2014 berharap mereka tidak mensia-siakan setiap peluang dicipta pada aksi penentu kumpulan ini.
“Kita harapkan keputusan positif. Kita bermain di tempat sendiri dan perlu cuba buat yang terbaik untuk menewaskan mereka.
“Ketika menentang Macau, kita terlalu cepat untuk mendapatkan gol dan tidak sabar-sabar mengatur permainan. Kelemahan ini kita perlu atasi,” katanya.
Menurut pemain berusia 21 tahun itu, walaupun sukar peluang masih belum tertutup buat skuad negara dalam kempen kali ini.
“Memang Jepun pasukan kuat tapi kalau semua pemain beri komitmen dan berjuang habis-habisan saya percaya kita boleh dapat keputusan positif,” jelas Nazirul Naim.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2015 @ 9:26 AM

- SUMBER: http://www.hmetro.com.my/node/40425#sthash.dA7KplCL.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan