Khamis, 29 Oktober 2020

FAM enggan keruhkan keadaan

MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY | | 29 Oktober 2020




Stuart Ramalingam. Gambar kecil: Laporan Sinar Harian sebelum ini.

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak mahu terburu-buru membuat sebarang keputusan berhubung tindakan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) yang menjatuhkan hukuman ke atas bekas pemain Tok Gajah tersebut, Mohamadou Sumareh.
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, pihaknya menghormati proses perundangan dan akan menunggu keputusan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) terlebih dahulu.
“FAM mengesahkan menerima surat keputusan daripada PBNP yang mendapati bekas pemain Pahang, Mohamadou Sumareh bersalah terhadap empat kesalahan dan mengenakan hukuman gantung dua tahun bagi setiap kesalahan tersebut daripada sebarang aktiviti bola sepak.
“Seperti yang telah ditegaskan oleh FAM sebelum ini, pertikaian antara PBNP dan Sumareh kini dalam siasatan FIFA.
“Lantaran itu, FAM perlu menghormati proses perundangan badan induk dunia terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Terdahulu, PBNP menjatuhkan hukuman terhadap Sumareh selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan dan dikenakan hukuman gantung selama dua tahun daripada sebarang aktiviti bola sepak oleh jawatankuasa tatatertib selepas didapati melanggar terma kontraknya dengan persatuan tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Sumareh digantung dua tahun
Bagi pertuduhan pertama, Sumareh didapati bersalah melanggar Artikel 4.11 kontrak pemain dan Artikel 10.05 Perlembagaan PBNP 2004 iaitu membuat kenyataan akhbar tanpa mendapat kebenaran daripada PBNP.
Dalam pertuduhan kedua pula, Sumareh didapati bersalah melanggar Artikel 6.6 kontrak pemain di mana beliau merujuk pertikaiannya dengan PBNP terus kepada FIFA (Dispute Resolution Chamber) tanpa merujuk terlebih dahulu kepada National Dispute Resolution Chamber FAM.
Sementara itu pertuduhan ketiga mendapati Sumareh bersalah kerana melanggar Artikel 5.1 dalam kontrak pemain di mana beliau gagal menghadiri sesi latihan bersama skuad Pahang bermula 3 hingga 28 Ogos lalu.
Pertuduhan terakhir pula mendapati Sumareh bersalah melanggar Artikel 5.1 kontrak pemain apabila gagal menghadirkan diri pada perlawanan Liga Super antara Pahang menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Kuantan pada 28 Ogos lalu.
SUMBERArtikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/107501/BERITA/Sukan/FAM-enggan-keruhkan-keadaan© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Khamis, 15 Oktober 2020

Harimau Malaya asah taring di Asia Barat

MyMetroArena



Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Wilayah Asia barat kemungkinan bakal dijadikan lokasi latihan pusat skuad Harimau Malaya disamping beberapa aksi persahabatan antarabangsa dilangsungkan Disember ini.

Pengurus pasukan, Datuk Yusoff Mahadi berkata, latihan dan aksi persahabatan itu amat perlu diadakan selepas kali terakhir skuad kendalian Tan Cheng Hoe dikumpulkan bersama setahun lalu ketika aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 November tahun lalu.

Jelasnya, berdasarkan perbincangan awal bersama barisan kejurulatihan, cadangan latihan pusat itu harus dijalankan bagi memudahkan penilaian di buat oleh Cheng Hoe menjelang tugas lebih mencabar pada tahun depan termasuk mengharungi baki aksi kelayakan Piala Dunia pada Mac nanti serta Piala AFF yang dijadual pertengahan April.

"Kita bercadang untuk memanggil latihan pusat pada Disember ini dan cuba mengatur beberapa aksi persahabatan bersama pasukan luar negara.

"Apapun, ia bergantung kepada situasi semasa kerana kita masih lagi berada dalam suasana Covid-19 yang banyak memberi kesan kepada pasukan kita.

"Jika keadaan mengizinkan dan mendapat kebenaran kerajaan untuk keluar, saya fikir kita kena cari negara yang tidak terjejas teruk dengan masalah Covid-19 ini.

"Mungkin negara Asia Barat seperti Qatar pilihan terbaik. Lagipun banyak perlawanan antarabangsa diadakan di sana termasuk aksi membabitkan Uzbekistan baru-baru ini.

"Malah, saingan ACL (Liga Juara-Juara Asia) juga akan dijalankan di sana dan saya fikir itu antara cadangan yang sesuai. Apapun kita tunggu dan lihat perkembangan Covid-19 serta kebenaran oleh pihak berwajib," katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang sepatutnya berlangsung bulan ini dengan Malaysia bertandang ke Dubai untuk berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) terpaksa ditunda ke tahun depan ekoran pandemik Covid-19.

Difahamkan, kempen kelayakan itu akan disambung Mac tahun depan dengan kemungkinan dilakukan secara karnival di Qatar.Anak buah Cheng Hoe yang kini menghuni tangga kedua Kumpulan G masih berbaki tiga aksi dengan menentang UAE, Vietnam dan Thailand.

Sekiranya skuad kebangsaan mampu mengekalkan kedudukan itu sehingga habis baki perlawanan, Malaysia berpeluang mara secara automatik ke Piala Asia selaku naib juara terbaik daripada lapan kumpulan serta layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia zon Asia.

"Kita kena cari pasukan luar untuk aksi persahabatan kerana pasukan liga tempatan semuanya berehat dan mungkin sedang mempersiapkan pasukan kerana kebanyakan pemain mungkin sudah habis kontrak.

"Jadi untuk main dengan pasukan tempatan susah sebab itu kita kena main dengan pasukan luar," katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2020 @ 12:03 AM

Isnin, 12 Oktober 2020

Dollah enggan silap pilih pemain

MyMetroNode



Kelana Jaya: Jurulatih negara Dollah Salleh akan memutuskan senarai 23 pemain untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2018 menentang Timor Leste dan Palestin hari ini, namun pada masa sama mahu lebih berhati-hati agar tidak tersilap memilih pemain.

Sehingga kini kami (jurulatih) masih berbincang, sudah ada gambaran.

Saya akan memuktamadkan senarai pemain esok (hari ini). Saya agak khuatir jika kita melakukan kesilapan dalam memilih pemain.

Esok (hari ini) latihan akan lebih tertumpu kepada 23 pemain yang terpilih terutamanya dalam memantapkan kesebelasan utama,” katanya.

Dollah bagaimanapun dijangka tidak dapat menggunakan khidmat pertahanan Sarawak Ronny Harun yang dilihat mengalami kecederaan dan tidak turun menjalani latihan semalam.

Seramai 31 pemain berada dalam kem latihan pusat sejak penghujung bulan lalu dengan lapan pemain akan digugurkan.

Skuad negara akan mengadakan aksi persahabatan menentang Hong Kong pada Sabtu sebelum aksi menentang Timor Leste dan Palestin.

Mengenai kapten Harimau Malaya, Dollah membayangkan perancang tengah Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Safiq Rahim bakal menggalas tugas berkenaan.

Safiq diberikan tanggungjawab berkenaan ketika aksi persahabatan menentang Kuantan FA beberapa hari lalu.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2015 @ 8:53 AM

Dollah nilai prestasi 19 pemain Ahad ini

MyMetroNodeKuala Lumpur: Saingan merebut tempat dalam skuad Harimau Malaya bagi menghadapi kempen pra kelayakan Piala Dunia 2018 dan kelayakan Piala Asia 2019 Jun ini pasti sengit apabila pengendali Dollah Salleh bakal menilai setiap prestasi pemain apabila latihan pusat bermula Ahad ini.

Sembilan belas pemain dipanggil bagi sesi latihan fasa pertama bagi menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa dengan kelab Liga Perdana Inggeris, Tottenham Hotspur di Stadium Shah Alam pada 27 Mei ini dengan hanya tujuh akan dikekalkan untuk menyertai fasa kedua pada 28 Mei membabitkan 13 pemain Johor Darul Ta’zim (Johor DT) serta enam, Pahang.

Menurut Dollah, beliau belum mengesahkan jumlah pemain yang akan terus bersama Harimau Malaya bagi sesi latihan kedua selepas aksi dengan Spurs.

Saya tidak tahu lagi, tengok situasi nanti. Saya akan nilai prestasi 19 pemain bagi sesi latihan pertama itu dulu semasa latihan dan perlawanan menentang Spurs.

Saya tidak boleh menilai hanya menerusi aksi persahabatan itu kerana dalam perlawanan itu lima pemain import turut digunakan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro di Jepun.

Dollah, 52, yang pulang ke tanah air hari ini selepas menjalani kursus bersama Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) tampak lebih terbuka dalam pemilihan kali ini apabila memanggil tiga muka baru, Mohamad Ramdhan Ab Hamid (Harimau Muda B), Mohd Afiq Azmi (Selangor) dan Mohamad Nasir Basharuddin (Perak).

Pemain lama yang sebelum ini tidak dipanggil seperti Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim (Kelantan), Mohd Nor Farhan Mohamad (Kelantan), Ronny Harun (Sarawak), Yong Kuong Yong (Pulau Pinang) dan Christie Jayaseelan (FELDA United) turut kembali diberi peluang oleh bekas pemain kebangsaan itu.

Bagi aksi menentang Spurs, Dollah turut menggunakan khidmat lima pemain import Paulo Rangel (Terengganu), Ashfaq Ali (PDRM), Robert Cornthwaite, Guilherme De Paula (Selangor) dan Woong Nam Kung (Perak) bagi memperkuatkan skuad Pilihan Malaysia.

Seminggu selepas latihan fasa kedua bermula, pengendali itu dijangka membuat pemilihan terakhir 23 pemain menerusi aksi pemanas badan menentang Hong Kong di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 6 Jun nanti.

Ujian sebenar Harimau Malaya bermula apabila menentang Timor Leste pada 11 Jun dan Palestin (16 Jun) bagi kempen kelayakan Kumpulan A.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2015 @ 7:15 AM

Ahad, 11 Oktober 2020

Pemain atau Vingada tak bagus?

MyMetroArena



Firdaus Hashim

firdaushashim@nstp.com.my

TAKTIKAL Vingada membunuh bola sepak Malaysia,” kata pengkritik bola sepak tempatan, Serbegeth Singh yang mengaku kecewa dengan persembahan skuad Harimau Malaya apabila tumpas 1-4 kepada Korea Utara dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019 di Buriram, Thailand, sebentar tadi.

Serbegeth atau lebih popular dengan panggilan Shebby berkata, percaturan Vingada yang tidak menyenaraikan seorang pun tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam kesebelasan utama jelas menimbulkan kehairanan ketika khidmat mereka amat ditagih pada aksi penting itu.

Jelasnya, kegagalan bekas pengendali Arab Saudi itu menurunkan barisan terbaik tidak boleh dimaafkan lagi dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) harus memecat jurulatih dari Portugal itu.

Selepas kekalahan kepada Korea Utara (1-4) dalam aksi pertama pada Jumaat lalu, sepatutnya beliau tidak harus kekal bersama pasukan.

Apa yang lebih mengelirukan bukan saja keputusan taktikal beliau, malah Vingada masih lagi diberi harapan hingga ke perlawanan ini.

Sejak beliau membimbing pasukan bukan saja kita gagal raih sebarang kemenangan, kita juga gagal menunjukkan persembahan yang baik. Jelas sekali Vingada tak berwibawa dan tak layak.

Dengan kekalahan malam ini, pada saya Vingada sudah membunuh bola sepak Malaysia dan rasanya ini kekalahan paling memalukan selepas kekalahan 0-10 kepada UAE (Emiriah Arab Bersatu) dua tahun lalu,” katanya.

Vingada yang mula mengambil alih pasukan daripada tangan Datuk Ong Kim Swee pada Mei lalu masih gagal meraih sebarang kemenangan dalam semua tugasan antarabangsa termasuk lima aksi Kumpulan B, Kelayakan Piala Asia selain dua perlawanan persahabatan.

Malah, kekalahan kali ketiga berturut-turut dalam kempen kelayakan itu selepas tewas 0-2 kepada Hong Kong dan 1-4 di tangan Korea Utara sebelum ini meletakkan Malaysia di tangga tercorot kumpulan dengan hanya sekadar meraih satu mata, sekali gus tersingkir.

Selepas ini tentunya akan ada suara-suara yang menyatakan pemain kita tak cukup bagus dan sebagainya. Jadi saya mencabar mana-mana pihak tak kira jurulatih atau pentadbir untuk menyebut secara umum bahawa pemain-pemain kita tak bagus,” katanya yang pernah bermain untuk negara sekitar tahun 80-an.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2017 @ 10:08 AM

Cencaru makan petang

MyMetroNode

Daripada Aziman Rosdi di Singapura

aziman@hmetro.com.my



SKUAD Harimau Malaya mempamerkan kebangkitan dengan menyumbat dua gol pada minit akhir perlawanan untuk menewaskan juara bertahan, Singapura 3-1, pada aksi terakhir Kumpulan B Piala AFF, di Stadium Nasional, Kallang, malam tadi.

Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Dollah Salleh itu mara ke separuh akhir bertemu juara Kumpulan A, Vietnam pada aksi timbal balik iaitu 7 Disember di Shah Alam manakala 11 Disember di gelanggang lawan.

Malaysia juara 2010 yang hanya mengumpul satu mata selepas seri 0-0 dengan Myanmar dan tewas 2-3, di tangan pendahulu Thailand perlu menang untuk mara ke separuh akhir manakala pasukan tuan rumah perlu bertahan untuk sekurang-kurangnya mendapat satu mata ke pusingan seterusnya.

Dollah yang membuat rombakan dengan meletakkan kapten Shukor Adan bergandingan bersama Muslim Ahmad di pertahanan tengah turut membawa masuk Gary Steven Robbat untuk menjana bahagian tengah dengan Safiq Rahim.

Aksi agak hambar dipamerkan pada babak pertama dengan Singapura juara empat kali yang tidak pernah tewas kepada Harimau Malaya di laman sendiri sejak 2002 lebih gemar bertahan.

Satu-satunya percubaan terbaik Malaysia hadir pada minit ke-42, menerusi penyerang kontroversi Mohd Safee Sali yang terkena tiang.

Namun, Safee yang dikritik hebat penyokong tempatan kerana prestasi buruk serta isu gambar dia sedang menghisap rokok di sebuah restoran di Singapura membalas kritikan itu dengan menyumbat gol pertama pada minit ke-60 dengan rembatan deras dalam kotak penalti.

Kedudukan itu tidak bertahan lama apabila skuad Singa berjaya menyamakan kedudukan 1-1, menerusi tolakan penyerang Khairul Amri Mohamad Kamal selepas penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat gagal menangkap kemas bola sepakan percuma Safuwan Baharudin pada minit ke-82.

Bagaimanapun, nasib menyebelahi pasukan negara apabila pengadil dari Oman Ahmed Abu Bakar Said menghadiahkan sepakan penalti selepas Mohd Amri Yahyah dikasari pertahanan lawan.

Pemain tengah Safiq Rahim tenang menyempurnakan sepakan penalti itu menewaskan penjaga gol Singapura Hassan Sunny pada minit ke-90.

Ketika Singapura ghairah memburu gol penyamaan mereka dihukum dengan serangan pantas Malaysia dengan penyerang gantian Indra Putra Mahayuddin menyepak bola ke gawang terbuka selepas Hassan naik ke atas untuk menyerang.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 November 2014 @ 10:37 PM

Eksperimen Dollah

MyMetroNode



Oleh Aziman Rosdi

aziman@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Langkah berani dilakukan jurulatih Harimau Malaya Dollah Salleh dalam proses pembentukan semula pasukan apabila memanggil tujuh pemain bukan daripada skuad Piala AFF 2014 termasuk tiga pemain muda yang tidak pernah menyarung jersi kebangsaan bagi aksi persahabatan menentang Oman di Muscat, 26 Mac ini.

Tiga pemain yang mendapat perhatian itu ialah Ahmad Syamim Yahya dari FELDA United dan dua pemain Johor Darul Ta’zim II (Johor DT II), Che Rashid Che Halim serta Muhammad Akram Mahinan.

Ketika Dollah mengetepikan sembilan pemain skuad naib juara Piala AFF tahun lalu, termasuk penyerang Mohd Safee Sali, Mohd Badhri Radzi, Khairul Fami Che Mat, Mahali Jasuli serta kapten Shukor Adan yang sudah bersara, pengendali berusia 51 tahun itu memanggil semula Joseph Kalang Tie, Junior Eldstal, S Chanturu dan Ahmad Hazwan Bakri untuk bersama pasukan.

Dollah yang bakal memulakan latihan pusat pada 18 Mac ini dengan memanggil kesemua pemain secara berperingkat berikutan ada pemain terikat dengan aksi Piala AFC dan Piala FA mahu menggunakan kesempatan aksi menentang Oman bagi menguji muka baru.

Pemain yang tidak bersama pasukan bukan bermakna mereka digugurkan. Mereka masih berada dalam perancangan cuma saya mahu menilai kemampuan pemain lain untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Saya boleh bawa Safee, Apek (Khairul Fahmi) bersama pasukan kerana boleh menyenaraikan hingga 26 pemain, tapi saya fikir 20 sudah cukup untuk saya bawa ke Oman,” katanya.

Ketiadaan Safee pasti membuka peluang kepada penyerang muda Selangor, Ahmad Hazwan Bakri yang kembali mencuri tempat selepas tiga tahun apabila kali terakhir membuat penampilan bersama Harimau Malaya ketika meledak hatrik menewaskan Sri Lanka 6-0 pada aksi persahabatan di Shah Alam pada 2012.

Dollah berkata, kesemua pemain dinilai berdasarkan pemerhatiannya dalam saingan Liga Super dan Liga Perdana termasuk Syamim, Che Rashid dan Muhammad Akram.

Saya lihat pemain ini berdasarkan prestasi semasa serta maklumat diberikan rakan jurulatih lain. Mereka muda dan berpotensi, saya mahu tengok sejauh mana kemampuan mereka,” katanya.

Sementara itu Khairul Fahmi, 26, yang ditemui pada majlis pelancaran kasut larian terbaru Puma Ignite akur dengan keputusan Dollah dan bertekad merampas kembali status penjaga gol nombor satu negara.

Ini pilihan jurulatih. Apa yang perlu saya buat, perbaiki diri untuk memberikan semula keyakinan kepadanya supaya menyenaraikan semula saya dalam skuad kebangsaan. Mungkin ada sesuatu yang tak kena dengan saya. Saya perlu lebih bekerja keras meningkatkan prestasi,” katanya yang beraksi dalam tiga perlawanan awal peringkat kumpulan dan separuh akhir pertama bertemu Vietnam pada Piala AFF 2014.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2015 @ 10:23 AM

Sabtu, 10 Oktober 2020

Sisih 13 bintang

MyMetroNode



Oleh Aziman Rosdi

aziman@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tidak ada seorang pemain daripada Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dipanggil menyertai skuad Pilihan Malaysia bagi aksi persahabatan menentang kelab Liga Perdana Inggeris Liverpool di Stadium Nasional Bukit Jalil 24 Julai ini selepas jurulatih Dollah Salleh membuat kejutan mengetepikan 13 pemain kebangsaan.

Antara 13 pemain itu, sembilan pemain adalah daripada skuad Harimau Selatan termasuk kapten kebangsaan Safiq Rahim dan penyerang Amri Yahyah yang hanya diletakkan dalam senarai simpanan andai ada pemain mengalami kecederaan saat akhir.

Lima pemain tempatan baru yang tidak beraksi dalam skuad kebangsaan ketika seri 1-1 dengan Timor Leste dan kalah 0-6 di tangan Palestin dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2019 dan Piala Asia 2018 bulan lalu iaitu Zamir Selamat, Razman Roslan, Nazirul Naim Che Hashim, Baddrol Bakhtiar dan Norshahrul Idlan Talaha diberi peluang kali ini.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin, keputusan terbaru Dollah itu dilihat sebagai usaha untuk menguji pemain lain yang tidak mendapat tempat sebelum ini.

Dollah mahu menguji pemain dari pasukan lain kerana beliau tahu pemain Johor DT sudah mempunyai pengalaman dan kualiti, jadi tidak perlu untuk menguji mereka dalam perlawanan menentang Liverpool.

Ini masanya untuk pemain lain menimba pengalaman bermain menentang kelab Liga Perdana Inggeris ini,” katanya yang juga pengurus pasukan Harimau Malaya.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim pernah mengeluarkan kenyataan supaya pengurusan skuad kebangsaan tidak memanggil pemain Johor DT menyarung jersi negara berikutan ada pihak sentiasa menyalahkan pemain kelab itu apabila tewas.

Namun Hamidin menegaskan tindakan pengendali kebangsaan tidak memanggil pemain Johor DT kali ini tidak ada kaitan dengan saranan Tunku Ismail.

Ia tidak ada kena mengena dengan kenyataan Tunku Ismail baru-baru ini malah Safiq dan Amri ada dalam senarai menunggu jika ada pemain lain yang cedera,” katanya.

Dollah turut memanggil lima pemain import untuk memperkuatkan pasukan Pilihan Malaysia termasuk penyerang Pahang Dickson Nwakaeme yang tiada dalam pasukan ketika menentang Tottenham Hotspur 27 Mei lalu di Stadium Shah Alam.

Selain ‘orang besi’ Nwakaeme, pemain perancang FELDA United Zah Rahan Krangar turut mendapat tempat selain Ashfaq Ali (PDRM), Robert Cornthwaite (Selangor) dan Thiago Junio Aquino (Perak) yang diturunkan ketika menentang Spurs.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2015 @ 5:02 AM

Pinda Liga M, Dollah ada masa

MyMetroNode

Kelana Jaya: Tempoh latihan lebih lama diberikan kepada jurulatih Dollah Salleh untuk menyiapkan pasukan bagi mengharungi kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2018 dan kelayakan Piala Asia 2019 Jun ini apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersetuju meminda jadual Liga M.

Keputusan itu dicapai hasil mesyuarat dengan pihak pengurusan pasukan dan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) semalam untuk memastikan tiada persiapan ‘tangkap muat’ Harimau Malaya sebelum beraksi dalam Kumpulan A membabitkan Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Palestin dan Timor Leste.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin percaya tempoh latihan antara 10 hingga 15 hari sebelum aksi antarabangsa cukup untuk Dollah mempersiapkan pasukan sebelum sesuatu perlawanan.

Sebelum ini ruang yang diberikan hanya empat, lima hari tapi kali ini sekurang-kurangnya 10 hingga 15 hari.

Ini tempoh terbaik diberikan kerana jadual Liga M kita bermula agak lewat sedikit. Kita akan lihat juga jadual liga sedikit padat khususnya pada bulan Ramadan dan Ogos nanti,” katanya.

Selepas dibelasah Oman 0-6 pada aksi persahabatan bulan lalu hingga dikritik kerana menjejaskan ranking negara, Dollah menegaskan tidak mahu mengadakan perlawanan tanpa tempoh latihan cukup.

Bagi menghadapi aksi persahabatan dengan kelab Liga Perdana Inggeris Tottenham Hotspur pada 27 Mei di Stadium Shah Alam, kelayakan Kumpulan A dengan Timor Leste 11 Jun dan Palestin 16 Jun di Stadium Nasional Bukit Jalil, Dollah dibenarkan memanggil pemain dari 17 Mei hingga 17 Jun.

Namun khidmat 10 pemain Johor Darul Ta’zim (Johor DT) terpaksa diketepikan bagi perlawanan dengan Spurs kerana mereka terbabit dalam kempen pusingan kedua Piala AFC termasuk beberapa pemain Pahang jika pasukan itu turut layak ke pusingan kalah mati kejohanan itu.

Hamidin berkata, FAM sedar akan ada rungutan daripada pasukan Liga M yang terpaksa mengharungi jadual padat namun menegaskan misi kelayakan Piala Dunia serta Piala Asia penting dan tidak sepatutnya ditanggung Dollah saja.

Semua pihak perlu berikan kerjasama kerana tugasan pasukan kebangsaan tanggungjawab bersama FAM, semua pasukan negeri dan kelab,” tegasnya.

Harimau Malaya akan berkumpul pada 19 hingga 25 Julai bagi persiapan menentang Liverpool dalam aksi persahabatan dan pada 23 Ogos hingga 19 September bersiap menghadapi UAE dan Arab Saudi bagi aksi kelayakan.

Selepas itu Dollah akan memanggil pemain kebangsaan semula pada 4 Oktober hingga 14 Oktober untuk persiapan perlawanan dengan Timor Leste dan 1 November hingga 18 November berdepan Palestin dan UAE.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2015 @ 8:27 AM

Harimau Malaya dijangka lebih bersedia tahun depan

MyMetroArena



BERNAMA

Melaka: Pasukan Harimau Malaya di bawah kendalian ketua jurulatihnya Tan Cheng Hoe, berkemungkinan akan bermain secara karnival bagi perlawanan kelayakan Piala Dunia FIFA Qatar 2022 dan Piala Asia AFC China 2023.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, aksi itu dijangka berlangsung pada Mac dan Mei tahun depan di negara yang dibenarkan seperti di Qatar atau mana-mana negara Emiriah Arab Bersatu (UAE), sekiranya situasi penularan Covid-19 itu berterusan.

"Walaupun tiada sebarang aksi kompetitif di peringkat antarabangsa tahun ini, namun penangguhan itu membolehkan skuad kebangsaan membuat persediaan bagi mengharungi pusingan kelayakan berkenaan.

"Mungkin mereka sudah lama tidak berlatih bersama tetapi kalau kita lihat, pemain-pemain kini bermain dengan kelab masing-masing dalam Liga Malaysia dan lebih bersedia untuk kejohanan itu nanti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi ke-71 Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam di Seri Negeri, hari ini.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin. FOTO File NSTP

Terdahulu, Hamidin dianugerahkan Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira.

Skuad Harimau Malaya sepatutnya mengharungi aksi timbal balik pusingan kedua Kumpulan G, dengan bertandang ke UAE pada 8 Oktober sebelum menyambut Vietnam, disusuli aksi bertemu Thailand (17 November).

Bagaimanapun Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), menangguhkan baki aksi kempen tersebut ke tahun depan.

Dalam perkembangan lain Hamidin berkata, penganjuran pertandingan Piala Malaysia musim ini tetap akan diteruskan biarpun negara berdepan peningkatan kes Covid-19 ketika ini, namun pihaknya akan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Susulan pindaan jadual itu menyaksikan undian Piala Malaysia yang sebelum ini dijadualkan pada 12 Oktober ditunda kepada 19 Oktober, sebelum kejohanan tertua di Asia Tenggara itu membuka tirai pada 25 dan 26 Oktober ini berbanding jadual asal pada 16 hingga 18 Oktober.SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2020 @ 8:26 PM