Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Setelah 35 hari
Kongres ke-50 Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berlalu, akhirnya mesyuarat
exco kali pertama bakal diadakan pada hari ini di Wisma FAM dengan pelantikan
jurulatih Harimau Malaya selain penubuhan jawatankuasa eksekutif baru menjadi
agenda utama.
Bakal mendapat sentuhan daripada
Presiden FAM yang baru, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, teka-teki mengenai
siapa mengisi beberapa jawatankuasa paling kanan seperti Pertandingan Tempatan,
dan Pertandingan Antarabangsa di badan induk bola sepak itu turut akan
terjawab.
Namun, tumpuan semua peminat,
dan pemerhati bola sepak negara pasti akan tertumpu kepada siapakah nama yang
akan menjadi pilihan FAM mengisi kerusi jurulatih Harimau Malaya yang dibiarkan
kosong hampir setengah tahun sejak 31 Disember lalu.
Memandangkan tarikh kejohanan
Piala AFF semakin dekat iaitu pada 22 November ini, semakin ramai pihak membuat
desakan termasuk Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin agar FAM membuat
keputusan secepat mungkin memilih jurulatih supaya tidak mengganggu persiapan
pasukan kebangsaan.
Jurulatih PDRM, dan bekas
pemain kebangsaan, Dollah Salleh menjadi nama yang disebut-sebut akan terpilih
selepas tidak menafikan kepada pihak media bahawa beliau ada menerima tawaran
daripada FAM.
Lamaran itu bukanlah kali
pertama buat Dollah Salleh (gambar) kerana FAM dipercayai berhasrat mengambil
bekas jurulatih MPPJ, Selangor, dan Pahang itu sejak 2008 dan sekali lagi pada
awal tahun ini selepas kontrak Datuk K. Rajagobal tidak disambung.
Melantik Dollah sebagai
jurulatih Harimau Malaya dilihat sebagai pilihan paling rasional buat FAM
memandangkan kejohanan AFF bakal berlangsung kurang lima bulan lagi, dan
sebagai jurulatih tempatan, dia sudah mengenali setiap inci kekuatan, dan
kelemahan yang ada pada setiap pemain tempatan di Liga Malaysia.
Jika memilih jurulatih luar
negara, sudah pasti sesiapa sahaja yang dilantik akan berdepan sedikit masalah
memilih pemain untuk diserapkan ke dalam skuad kebangsaan dalam tempoh yang
singkat dengan saingan Piala Malaysia sahaja menjadi medan terbaik.
Berdasarkan pengalaman 12 tahun
di dalam bidang kejurulatihan, dan membawa tiga trofi Piala Malaysia kepada
MPPJ, Selangor dan Pahang, tidak salah untuk meletakkan Dollah selaku jurulatih
tempatan terbaik pada era ini selain cukup disenangi oleh ramai pemain.
Selain Dollah, beberapa nama
masih kekal menjadi pilihan seperti jurulatih sementara, Datuk Ong Kim Swee
selain dua calon luar negara, Gert Engels (bekas jurulatih Mozambique) dan
Wolfgang Sidka (bekas jurulatih Iraq).
Jika diukur pencapaian Kim
Swee, tidak dinafikan dia lulus kerana sepanjang tiga perlawanan bersama skuad
kebangsaan, tiada sebarang kekalahan dicatatkan, selain menamatkan kemarau
kemenangan perlawanan berkelas A di luar negara, sejak 2007 dengan menewaskan
Yemen 2-1 pada aksi kelayakan Piala Asia 2015.
Tiada salahnya meneruskan
momentum yang dibawa oleh jurulatih Harimau Muda A itu bersama Harimau Malaya
tambahan kebanyakan pemain yang ditemui sudah mula cukup selesa dengan
taktikal, dan corak latihan Kim Swee.
Sekiranya FAM membuat kejutan
pada hari ini dengan menggunakan khidmat jurulatih asing, Sidka,60, yang
berasal dari Jerman mungkin calon paling layak berdasarkan pengalaman luasnya
membimbing beberapa pasukan Asia seperti Bahrain dan Yemen.
RUJUKAN-
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140628/su_01/Siapa-paling-layak#ixzz35tDgYjX0
© Utusan Melayu (M) Bhd