Isnin, 28 Oktober 2019

Strategi menjadi

MyMetroNode
 
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tiada apa yang mahu dikatakan jurulatih Skuad Projek Sukan SEA 2017 Frank Bernhardt selain memuji persembahan anak buahnya membenam skuad Bawah 22 Tahun (B-22) Filipina dengan 4-1 pada aksi persahabatan antarabangsa kelmarin.

Meskipun beliau tidak terlalu menekankan soal keputusan pada perlawanan pertama kendaliannya, apa yang dipamerkan skuad muda negara itu tetap mengikut strategi diterapkannya dalam latihan singkat sebelum ini.

“Ini hanya perlawanan ujian dan keputusan tidak terlalu penting. Jika mereka tunjukkan apa yang dipelajari dalam latihan, sudah pasti keputusan baik akan diperoleh.

“Sememangnya ini kemenangan yang bagus untuk saya memulakan tugas baru,” kata Bernhardt kepada pemberita pada sidang media selepas perlawanan kelmarin.

Dalam aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi itu, skuad muda negara yang memulakan persiapan bagi menghadapi Sukan SEA di Kuala Lumpur tahun depan mendominasi sepenuhnya permainan.

Deretan peluang disia-siakan walaupun pasukan tuan rumah tetap berjaya menyumbat dua gol pada setiap babak menerusi Muhammad Arif Farhan Md Isa, S Kumaahran, N Thanabalan dan Farhan Roslan.

Biarpun jarang menyerang, Filipina B-22 masih mampu mencuri satu gol hasil sepakan penalti John Christopher Kanayama dan pertahanan negara sedikit goyah apabila berdepan serangan balas pantas pasukan lawan.

“Persembahan yang baik pada babak pertama, kami mencipta banyak peluang dan itu yang saya mahu lihat. Pada babak kedua kami melakukan banyak pertukaran jadi rentak permainan hilang.

“Kami juga berdepan masalah dengan serangan balas pantas lawan tapi akhirnya saya harus berikan pujian kepada semangat tinggi pemain,” kata Bernhardt.

Menurut jurulatih kelahiran Jerman itu, beliau akan menilai tahap prestasi pemain dan kemungkinan bersedia memberi peluang kepada mereka yang tidak beraksi kelmarin untuk beraksi menentang skuad kebangsaan Nepal dalam satu lagi aksi persahabatan di Paroi Ahad ini.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2016 @ 9:13 AM


Tiada ulasan:

Catat Ulasan