Selasa, 29 Oktober 2019

Cukup masa buru emas


MyMetroNode
 
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Biarpun beberapa perancangan awalnya tidak menjadi kenyataan namun jurulatih Skuad Projek Sukan SEA 2017 Frank Bernhardt tetap yakin beliau memiliki tempoh masa yang cukup untuk membentuk pasukan menggalas misi memburu pingat emas di Kuala Lumpur.

Selepas hasratnya untuk mengumpul pemain secara tetap dengan menyertai Liga Perdana musim ini mendapat kekangan, apa yang boleh dilakukan oleh pengendali dari Jerman itu adalah memanggil pemain dalam tempoh tertentu seperti skuad senior.

31 pemain berusia bawah 22 tahun (B-22) akan dipanggil menyertai kem latihan pusat pertama bermula 14 Mac ini selepas kali terakhir Bernhardt mengadakan sesi pemilihan awal Januari lalu.

Mereka kemudian bakal mengharungi ujian menentang skuad Filipina B-22 pada 23 Mac dan pasukan kebangsaan Nepal (27 Mac) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi Negeri Sembilan

“Perancangan saya ketika ini adalah menggunakan tarikh perlawanan FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) bagi mengadakan kem latihan dan aksi persahabatan.

“Selain itu saya juga akan gunakan masa ketika liga berehat pada Ramadan serta November dan Disember apabila saingan liga berakhir.

“Kami mempunyai masa lebih setahun untuk membuat persiapan ke Sukan SEA jadi buat permulaan kami perlu uji pemain dalam kem pertama nanti dan kemudian fokus kepada hala tuju Sukan SEA,” katanya kepada Arena Metro.

Semua pemain yang dipanggil diminta melaporkan diri pada Isnin depan kecuali sembilan pemain yang bakal menyusul pada 17, 19 dan 20 Mac selepas selesai tugasan bersama pasukan masing-masing dalam saingan Piala AFC serta Piala FA.

Daripada senarai itu kedudukan pemain pertahanan Pahang Matthew Thomas Davies akan ditentukan jika dia tidak menyertai skuad Harimau Malaysia manakala seorang lagi pemain kacukan Rodney Calvin Akwensive dari Sarawak antara yang mencuri tumpuan dalam skuad projek ini.

“Saya lihat Rodney Calvin Akwensive sebagai seorang pemain muda menarik yang telah pun mempunyai sedikit pengalaman bermain di Liga Super. Beliau mempunyai kelebihan fizikal yang bagus serta berkebolehan untuk bermain di pelbagai posisi dan saya mahu melihat beliau berlatih bersama pemain kelak.

“Kita akan menggunakan kedua-dua perlawanan ini sebagai perlawanan ujian untuk mencari kesebelasan pasukan dan juga menguji pemain-pemain di posisi berbeza. Saya mengharapkan persembahan dan perlawanan yang baik daripada para pemain,” katanya.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2016 @ 10:02 AM


Tiada ulasan:

Catat Ulasan