Selasa, 6 September 2016

Malaysia tidak gentar dengan wajah baharu skuad Garuda

3 SEPTEMBER 2016
 Ong Kim Swee
Ong Kim Swee Ong Kim Swee
MALAYSIA tidak gentar berdepan dengan pasukan Indonesia yang berwajah baharu pada aksi persahabatan antarabangsa kelas 'A' di Stadium Manahan, Solo, Indonesia, pada Selasa ini.

Ketua jurulatih skuad Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee menjelaskan walaupun skuad Garuda itu dibarisi sebahagian besar pemain muda namun mereka mampu memberikan saingan sengit memandangkan kedua-dua pasukan mempunyai corak permainan yang hampir sama.

"Daripada senarai pemain Indonesia yang saya perolehi, empat atau lima pemain mereka pernah beraksi pada Piala AFF Suzuki yang lepas dan selebihnya adalah pemain-pemain muda.

"Saya percaya Indonesia juga melakukan transisi sama seperti kita dengan kemasukan pemain muda namun saya percaya permainan mereka dengan pasukan kita tiada banyak beza kerana mereka masih dikendalikan oleh Alfred Riedl yang sudah lama bersama Indonesia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sebelum sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, hari ini.

Dalam pada itu, Kim Swee berkata, kesebelasan utama skuad kebangsaan berdepan Indonesia hanya akan ditentukan selepas dua sesi latihan singkat di negara berkenaan kerana beliau mahu memberi peluang kepada muka baharu‎ membuktikan keupayaan masing-masing.

Beliau pada masa sama turut menjelaskan dua tonggak iaitu pemain Kelantan, Brendan Gan dan penyerang Selangor, Ahmad Hazwan Bakri hampir pulih daripada kecederaan. - Bernama

SUMBER-SINAR  HARIAN 3 SEPTEMBER 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan