Jumaat, 30 Jun 2017

Kim Swee pilih kesebelasan utama selepas Aidilfitri



24 Jun 2017 3:00 AM

MELAKA 23 Jun – Pengendali skuad Bawah 22 (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee akan menentukan kesebelasan utama pasukannya bagi menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 selepas sambutan Aidilfitri.

Beliau berkata pemilihan barisan pemain itu akan dilakukan setelah selesai sesi latihan fasa kedua yang akan diadakan selepas sambutan Hari Raya ini.

“Kami akan memanggil semula pemain pada 5 Julai, dan buat masa ini masih terlalu awal bagi saya membuat keputusan untuk memilih pemain,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan persahabatan menentang Melaka United di Stadium Hang Jebat di sini malam tadi.

Melaka United beraksi cemerlang apabila membelasah skuad B-22 negara 5-1 dalam perlawanan persahabatan tersebut.

Kim Swee berkata beliau akan menamakan kesebelasan utama skuad muda negara itu sebelum beraksi dalam Pusingan Kelayakan AFC B-23 di Bangkok, Thailand bulan depan.

“Senarai akhir akan hanya kita umumkan dalam latihan terakhir sebelum kita bertolak ke Bangkok pada 17 Julai,” katanya.

Mengulas mengenai perlawanan malam tadi, Kim Swee berkata anak buahnya kepenatan setelah mengharungi jadual padat ketika menjalani latihan selama lapan hari di China, baru-baru ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kim-swee-pilih-kesebelasan-utama-selepas-aidilfitri-1.496505#ixzz4lTYJnDrT
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan