ARKIB :
27/12/2010
KUALA LUMPUR -
Perubahan corak permainan pada pertengahan separuh masa kedua adalah disebabkan
kata-kata nasihat K. Rajagobal, yang memaksa pemain agar lebih agresif dan
hasilnya mereka berjaya meraih kemenangan 3-0 ke atas Indonesia.
Rajagobal
berkata, kemenangan perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF 2010 dengan
jaringan tersebut memang tidak dijangka, tetapi mungkin pesanan yang
disampaikan kepada pemain selepas rehat separuh masa pertama menjadi penyebabnya.
"Saya
hanya berpesan kepada pemain supaya mereka lebih agresif pada separuh masa
kedua selepas kami terikat tanpa jaringan di separuh masa pertama, dalam pada
itu saya berkata kepada mereka inilah saat terbaik untuk menang," katanya
dalam sidang akhbar selepas perlawanan tamat, semalam.
Jelasnya,
pemain mengikuti segala arahan yang disampaikan dengan baik seterusnya
membolehkan mereka berjaya menjaringkan tiga gol pada separuh masa kedua
tatkala Indonesia seakan terkejut dengan persembahan pemain Malaysia.
"Saya
bangga dengan dengan aksi pemain, terutama sekali pemain muda yang berjaya
mengikuti segala arahan yang diberi, tetapi saya nasihatkan kepada mereka
perjuangan masih belum selesai kerana kita mempunyai 90 minit lagi di Jakarta.
"Saya
juga ingin memuji permainan Norshahrul Idlan Talaha yang boleh disifatkan
sebagai pemain terbaik selepas dua gol yang dihasilkan adalah hasil dari
gerakan yang dilakukannya, Safee Sali juga bermain dengan baik selepas
menjaringkan dua gol," katanya.
Ditanya adakah
dia akan mempamerkan corak bertahan pada perlawanan akhir kedua di Jakarta Rabu
ini, Rajagobal mengakui mereka tidak akan bermain dengan corak sedemikian,
sebaliknya ingin beraksi seperti biasa.
"Kita
boleh melihat permainan ini seperti mana kita tewas 1-5 kepada Indonesia, iaitu
sesiapa sahaja boleh mencatat kemenangan di tempat sendiri dan ini yang berlaku
di Stadium Nasional Bukit Jalil," katanya.
Selain Safee
dan Norshahrul, Rajagobal merasakan kemenangan yang dicatatkan adalah hasil
kerja keras semua pemain, jelasnya, Malaysia bermain dengan semangat berpasukan
yang tinggi untuk menghasilkan tiga gol.
SUMBERArtikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5dF86Q2UC
© Utusan
Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan