ARKIB : 24/03/2001
DOHA, Qatar - Jurulatih bola
sepak kebangsaan, Allan Harris berkata, dia lebih cenderung menampilkan barisan
terkuat skuad negara dengan hanya satu pasukan dan bukannya dua, untuk
kejohanan Pestabola Merdeka di Kuala Lumpur, 15-30 Jun ini.
``Bagi saya, lebih baik
menghantar satu pasukan iaitu pasukan penuh kebangsaan pada Pestabola Merdeka
ini kerana jika kita menghantar dua pasukan, kekuatan kita akan
dibahagi-bahagi.
``Pemain terpaksa dipecahkan
untuk dua pasukan itu dan saya rasa tidak adil bagi pemain terutama dalam
barisan bawah 23 tahun dan pasukan kebangsaan,'' kata Harris di sini, semalam.
Jurulatih dari England itu
berkata demikian ketika ditanya sama ada perlu Malaysia menghantar dua pasukan
pada kejohanan itu. Sebelum ini, ada ura-ura cadangan Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM) mahu menghantar dua pasukan untuk kejohanan berkenaan
memandangkan empat pasukan luar telah mengesahkan penyertaan.
Pasukan itu ialah Slovakia,
Bosnia, Thailand dan Bahrain. Jika Malaysia menghantar dua pasukan, kejohanan
boleh dibahagikan kepada dua kumpulan tetapi jika hanya satu, liga satu
pusingan terpaksa dibuat seperti kejohanan tahun lalu.
Kejohanan tahun lalu hanya
menampilkan empat pasukan setelah Cameroon dan Ghana menarik diri pada saat
akhir yang memaksa jadual perlawanan dirombak beberapa kali.
Penarikan dua pasukan itu sebagai
bantahan Persekutuan Bola Sepak Afrika (CAF) terhadap empat undi Gabungan Bola
Sepak Asia (AFC) yang dikatakan menyokong Jerman dan bukannya Afrika Selatan
semasa pemilihan tuan rumah Piala Dunia 2006, tahun lalu.
Pestabola Merdeka 2000 akhirnya
disertai dua pasukan luar negara iaitu New Zealand dan Oman manakala Malaysia
menghantar dua pasukan iaitu Malaysia A dan Malaysia B (bawah 23 tahun).
Malaysia A yang ketika itu
dibimbing bekas jurulatih kebangsaan, Abdul Rahman muncul naib juara apabila
tewas 2-0 kepada New Zealand pada perlawanan akhir.
Harris berkata, walaupun Malaysia
dilihat perlu menghantar pasukan bawah 23 tahun yang bakal mengharungi Sukan
SEA XXI Kuala Lumpur September ini, ia dirasakan tidak adil bagi pemain senior
dalam pasukan kebangsaan.
``Kita masih boleh meletakkan
beberapa pemain bawah 23 dalam pasukan itu untuk Pestabola Merdeka dan saya
rasa kita tidak rugi jika hanya menghantar satu pasukan,'' tambahnya.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Dell
Akbar Khan bersetuju dengan pandangan Harris.
``Lebih baik kita hantar pasukan
penuh kebangsaan kerana dengan hanya satu pasukan, kita mampu menyediakan
sebuah pasukan yang kuat. Jika dua pasukan, kita tentu mempunyai masalah untuk
meletakkan pemain kebangsaan antara dua pasukan itu,'' kata Dell. - Utusan
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0324&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bVLOhwLJ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan