SKUAD bola sepak kebangsaan
menerima tamparan paling hebat menjelang kelayakan Piala Dunia 2002 minggu
depan, apabila tewas 2-0 kepada pasukan Perdana Dua, NS Chempaka dalam aksi
persahabatan di Stadium Shah Alam, semalam.
Kekalahan memalukan itu
menyebabkan jurulatih negara, Allan Harris naik berang dan bingkas mengecam
anak buahnya yang disifatkan tidak langsung mempunyai semangat apabila
menyarung jersi kebangsaan.
``Saya tidak faham dengan
mentaliti pemain Malaysia. Mereka sepatutnya amat berbangga apabila memakai
jersi kebangsaan dan bermain dengan penuh bersemangat tidak kira pasukan mana
yang ditentang.
``Tetapi hari ini saya sedar
mereka begitu. Saya sebagai jurulatih berasa malu dengan keputusan ini,'' kata
Harris.
Pasukan negara tidak bermain pada
tahap sebenar sepanjang perlawanan semalam yang membolehkan NS Chempaka
mengambil kesempatan.
Kedua-dua gol NS Chempaka
diperoleh dalam tempoh dua minit pada lima minit terakhir babak kedua menerusi
bekas pemain kebangsaan dan Olimpik 2000, K. Nanthakumar.
Begitupun, Harris semalam hanya
menurunkan enam pemain utamanya termasuk penyerang Rusdi Suparman dan Hairuddin
Omar.
``Saya sebenarnya tidak mahu
mengambil risiko kecederaan pemain utama dalam perlawanan ini. Selain itu saya
mahu menilai buat kali terakhir pemain-pemain simpanan yang ada sebelum dipilih
ke Hong Kong,'' kata Harris.
Harris akan mengumumkan barisan
20 pemain ke Hong Kong di Wisma FAM, Kelana Jaya, esok.
Malaysia diletakkan dalam
Kumpulan Tiga Asia dalam kelayakan itu bersama Hong Kong, Qatar dan Palestin.
Pusingan pertama berlangsung di Hong Kong pada 4-11 Mac manakala pusingan kedua
di Qatar pada 20-25 Mac.
Harris turut mengakui keputusan
perlawanan itu tambah menyukarkannya untuk memilih barisan terakhir pemain ke
kelayakan itu.
``Saya tidak sangka menerima
keputusan seburuk ini ketika kita membuat persiapan terakhir sebelum ke
kelayakan itu. Saya perlu melakukan sesuatu,'' kata Harris tanpa memberitahu
apa yang akan dilakukannya.
Sekembali daripada aksi
persahabatan di Fiji dengan satu kemenangan dan dua tewas, pasukan negara
mencatat kemenangan 2-1 ke atas Kelantan dan Negeri Sembilan.
``Mungkin agaknya mereka tidak
gemar bermain dengan pasukan Liga Malaysia dalam persahabatan. Mereka lebih
sesuai bermain dengan pasukan-pasukan luar,'' tambah Harris.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4bPVmUAoE
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan