ARKIB : 16/01/2001
Harris dedah latihan keras
LEONG Hong Seng mengutip bola
yang tersangkut di jaring ketika latihan skuad bola sepak kebangsaan di Wisma
FAM, Kelana Jaya, semalam. Malaysia sedang membuat persiapan untuk kelayakan
Piala Dunia 2002, Mac ini. - Gambar AZALEZAH MALEK.
Jurulatih negara, Allan Harris
berkata, latihan itu akan dilakukan dalam tempoh dua minggu ini yang telah
bermula sejak kem latihan skuad negara dibuka.
"Kita masih meneruskan
latihan keras seumpama ini kerana semua pemain perlu meningkatkan semula
kecergasan masing-masing selepas berehat panjang.
"Mereka nampaknya sudah
menampakkan peningkatan sejak latihan bermula minggu lepas,'' kata Harris.
Harris semalam meneruskan
latihan seumpama itu dengan menetapkan had masa yang perlu dilepasi oleh semua
pemain.
Mereka diberi tempoh enam minit
bagi larian sejauh 1,400 meter.
"Mereka berjaya melepasi
had itu tetapi kita akan teruskan latihan ini sehingga mereka benar-benar
cergas,'' kata Harris di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
Skuad negara sedang dalam
persiapan untuk menghadapi pusingan kelayakan Piala Dunia 2002 yang akan
berlangsung di Hong Kong dan Qatar, Mac ini.
Malaysia diletakkan dalam
Kumpulan Tiga pada kelayakan itu bersama-sama Hong Kong, Qatar dan Palestin.
Pusingan pertama diadakan di
Hong Kong pada 3-8 Mac manakala pusingan kedua di Doha, Qatar pada 20-25 Mac.
Semua pemain turun menjalani
latihan semalam kecuali penyerang Rusdi Suparman dan penjaga gol Azmin Azram
Aziz.
"Rusdi mengalami
cirit-birit manakala Azmin pula demam. Mereka diberi rehat sehingga keadaan
mereka kembali pulih,'' kata Harris.
Sebagai persiapan skuad negara
menghadapi kelayakan itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah mengatur
beberapa siri perlawanan persahabatan dengan pasukan luar negara.
Antaranya menentang pasukan
Bahrain yang dijadual pada 25 Januari dan kelab dari Switzerland, FC Aarau pada
28 Januari.
Skuad negara dijangka
berkunjung ke Fiji selama 10 hari bermula 2 Februari untuk tiga perlawanan
persahabatan di sana.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4bLd0JG9e
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan