Oleh MUHAMMAD RIDUAN MOHD. HANAFIAH
BERNHARDT (dua dari kanan) bersalaman dengan rakan sejawatnya dari Bahrain, Marjan Eid (dua dari kiri) selepas selesai sidang akhbar sempena perlawanan persahabatan antarabangsa antara kedua-dua pasukan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam. Perlawanan tersebut akan berlangsung di Stadium Shah Alam hari ini.
PERSIAPAN skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara untuk menghadapi Sukan SEA 2017 nampaknya agak terjejas.
Mana tidaknya, masa untuk mengumpul pemain tidak selancar yang dijangkakan kerana berdasarkan kalendar yang telah ditetapkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), skuad negara hanya mempunyai dua aksi antarabangsa tahun depan yang sudah pastinya tidak mencukupi untuk memberi pendedahan kepada skuad B-22 negara itu.
Keadaan tersebut ternyata memeningkan jurulatihnya, Frank Bernhardt yang mempunyai masa yang agak terhad untuk mengumpul pemain.
Beliau tidak boleh memanggil pemain untuk berlatih sepanjang tahun kerana sebahagian besar anak didiknya itu beraksi dengan pasukan masing-masing dalam saingan Liga Malaysia.
Bernhardt menjelaskan, beliau hanya boleh mengumpul pemain jika ada aksi persahabatan antarabangsa membabitkan skuad tersebut dan sekiranya FIFA telah menetapkan hanya dua aksi antarabangsa, maka ia akan menyukarkannya untuk memanggil pemain menjalani latihan.
Menurutnya, Sukan SEA 2017 dijadualkan berlangsung pada bulan Ogos dan mereka memerlukan banyak aksi antarabangsa untuk memberi pendedahan kepada skuad muda negara itu.
Jelasnya, kali terakhir skuad negara berkumpul dalam satu pasukan adalah ketika aksi persahabatan di Jepun (Jun lalu) sebelum mereka kembali menyertai pasukan negeri ma–sing-masing bagi menghadapi saingan Liga Malaysia.
“Sekiranya kami hanya me–ngikut jadual yang ditetapkan oleh FIFA, kita hanya ada dua perlawanan sahaja untuk tahun depan. Sudah pasti dengan jadual tersebut tidak cukup untuk persiapan skuad B-22 bagi menghadapi Sukan SEA nanti,” jelas Bernhardt semalam.
Bagaimanapun Bernhardt memberitahu, kata sepakat mengenai perancangan buat skuad projek Sukan SEA itu akan diketahui esok sekiranya persatuan negeri sudi memberi pelepasan kepada para pemain yang terlibat dengan skuad B-22 ini.
“Setakat ini, masih belum ada kata keputusan muktamad mengenai perancangan untuk skuad ini dan esok akan ada mesyuarat antara FAM bersama persatuan negeri dan kelab. Jadi, kita tunggu apa penyelesaian yang akan dicapai,” ujarnya.
Dalam pada itu, pengendali dari Jerman itu turut berharap agar anak-anak buahnya mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan persahabatan menentang Bahrain hari ini, sekali gus mempergunakan sepenuhnya peluang tersebut untuk memperbaiki kelemahan yang ada.
Jelasnya, ketika ini, sepuluh pemain skuad berkenaan baru sahaja menamatkan aksi dalam saingan Piala Malaysia dan kini sudah kembali bersama pasukan.
“Sepuluh pemain baharu melaporkan diri hari ini (semalam) kerana mewakili pasukan mereka mengharungi saingan Piala Malaysia.
“Jadi, kemungkinan besar saya tidak akan menggunakan khidmat mereka pada perlawanan esok (hari ini) dan berharap peluang ini dapat digunakan sebaik mungkin oleh pemain lain untuk menyerlah,” jelasnya.
Selepas aksi pertama di Stadium Shah Alam hari ini, skuad B-22 negara akan menentang pasukan yang sama pada aksi kedua di Stadium Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Jumaat ini.
Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0830&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4Iovk7lQY Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan