Ahad, 2 April 2017

Nasihat Misbun pada Lee Tsuen Seng -- Ubah sikap jika mahu berjaya



ARKIB : 07/07/2003
Oleh NORZIE MOHD. KHASBI HANYA Lee Tsuen Seng dapat membantu dirinya sendiri untuk menjadi pemain yang lebih baik, tiga minggu menjelang Kejohanan Dunia di Birmingham, kata ketua jurulatih badminton perseorangan negara, Misbun Sidek.

Selepas persembahan buruk pada Cabaran Elit bulan lalu, tidak banyak kemajuan ditunjukkan pemain itu biarpun memenangi kedua-dua perlawanannya dalam siri persahabatan dengan Korea Selatan yang berakhir kelmarin.

Apa yang membimbangkan Misbun, Tsuen Seng masih gagal mengikis sikap mudah berpuas hati setiap kali sedang mendahului lawan sehingga menyebabkan dia mudah hilang rentak permainan.

Malah katanya lagi, pemain kelahiran Perak itu juga kurang memberikan tumpuan di atas gelanggang dan dilihat sebagai pemain yang paling tidak bersedia di kalangan empat perseorangan yang akan beraksi pada 28 Julai hingga 3 Ogos ini.

``Dia (Tsuen Seng) sepatutnya lebih memahami dirinya sendiri. Dia boleh berjaya kalau dia dapat membantu dirinya, seperti memberi tumpuan yang lebih ketika beraksi,'' kata Misbun.

``Dia adalah pemain yang berbakat tetapi dia hanya bermain dalam fikirannya sendiri dan suka melihat ke arah penonton. Sikap ini harus diubah.''

Daripada tiga siri perlawanan persahabatan menentang Korea, Tsuen Seng diturunkan dua kali, kedua-duanya bertemu pemain remaja negara itu, Park Sung-hwan.

Dalam pertemuan pertama di Alor Star Isnin lalu, dia menang 15-6, 15-10 dan menerima tentangan lebih sengit di Kuala Lumpur sebelum menang 15-7, 17-15.

Pada set kedua kelmarin, Tsuen Seng memegang mata perlawanan pada kedudukan 14-2 tetapi membenarkan lawan mengejar dan memperoleh deuce, sebelum menang 17-15.

Dalam ranking terbaru yang dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Antarabangsa Jumaat lalu, pemain itu jatuh ke tangga 37 dunia, sekali gus menyukarkan laluannya pada Kejohanan Dunia.

Tsuen Seng sedar mengenai kelemahannya yang sering hilang rentak permainan dan cuba memberi tumpuan dalam tempoh tiga minggu terakhir ini.

Katanya, dia telah menunjukkan sedikit peningkatan berbanding persembahannya pada Cabaran Elit tetapi sedar ia masih tidak mencukupi jika dia berhasrat untuk pergi lebih jauh di Birmingham.

``Saya tidak rasa permainan saya begitu bermasalah, apa yang perlu saya lakukan ketika ini adalah meningkatkan kecergasan dan menguatkan persiapan mental,'' kata Tsuen Seng, yang kali terakhir merangkul gelaran antarabangsa pada Terbuka Belanda 2001.

Tsuen Seng, 24, pemenang pingat perak Sukan Komanwel gagal melepasi pusingan pertama ketika membuat penampilan sulung dalam Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland pada 1997.

Dalam pada itu, Tsuen Seng dipilih sebagai Olahragawan Perak pada majlis Anugerah Sukan Negeri Perak 2002 yang diadakan di Lumut, Perak, semalam.

Tsuen Seng adalah sebahagian daripada anggota skuad Piala Thomas negara yang muncul naib juara di Guangzhou, China, tahun lepas.

Pemain boling padang wanita negara, Siti Zalina Ahmad pula dipilih Olahragawati Perak atas kejayaannya menyumbang pingat perak buat Malaysia pada Sukan Komanwel Manchester, selain meraih dua emas pada Kejohanan Boling Padang Asia.

Pasukan bola sepak Perak pula memenangi kategori pasukan terbaik selepas muncul juara Perdana Satu tahun lalu dan naib juara Piala FA.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0707&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz4d5CQwJ6w
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan